Kamis, 14 Februari 2013
SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU
SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU
Sebelum
kedatangan Islam, masyrakat Melayu menganut fahaman animisme. Keadaan
ini berubah selepas kedatanagan Islam yang membawa konsep tauhid dengan
menafikan kewujudan Tuhan yang banyak. Bermula dengan konsep keesaan
Tuhan dan ibadat yang luas Islam telah berjaya menarik minat masyarakat
tempatan. Sejak kedatangan Islam, kehidupan harian masyarakat Melayu dan
adat istiadat tertentu yang didapati bertentangan dengan akidah
ditinggalkan secara beransur-ansur (Ruslan Zainuddin, 2004: 91-92).
Kedatangan
Islam ke Tanah Melayu dipercayai bermula pada abad ke-7 masihi.
Pandangan ini berdasarkan kemungkinan agama Islam disebarkan oleh para
pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ke Negara China.
Seterusnya Islam semakin berkembang pesat berikutan dengan kemunculan
beberapa buah kerajaan Islam di Pasai dan Perlak di persekitaran Selat
Melaka pada abad ke-13 Masihi. Mengikut cacatan Marco Polo, agama Islam
telah tersebar di Tanah Melayu sebelum abad ke-15. Pada tahun 1292,
semasa Marco Polo dalam perjalanan pulang dari China,
beliau telah melawat Sumatera. Perlak ialah pelabuhan pertama yang
disinggahinya. Beliau menyatakan pada masa itu telah wujud usaha-usaha
untuk mengislamkan penduduk tempatan oleh para pedagang Arab di
Nusantara. Menurut beliau lagi, itulah satu-satunya negeri Islam di
Kepulauan Melayu pada masa itu (Hall dlm Ruslan Zainuddin). Manakala Ibn
Battutah, pengembara Arab yang singgah sebanyak dua kali di Samudera
semasa dalam perjalanan pergi dan balik dari Negara China antara tahun
1345 hingga 1346, menyatakan bahawa raja Samudera ketika itu telah
memeluk Islam dan mengamalkan Mazhab Shafie. Menurut beliau lagi,
negeri-negeri lain di sekelilingnya masih belum mmeluk Islam. Sepanjang
tempoh abad ke-13 dan ke-16 Masihi, agama Islam telah tersebar dengan
meluas hampir ke seluruh Kepulauan Melayu dan mengurangkan pengaruh
agama Hindu-Buddha yang bertapak berabad-abad lamanya di Tanah Melayu.
Sejak itu, Islam telah berkembang pesat sehingga menjadi agama yang
dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Kepulauan Melayu (Ruslan
Zainuddin, 2004: 91).
Dari
sudut sejarahnya selepas kedatangan Islam dan pembentukan Kerajaan
Melaka yang bercorak keislaman, kita dapati proses Islamisasi di bidang
undang-undang, sosio-budaya dan politik berterusan berlaku. Dalam bidang
undang-undang dimulai dengan undang-undang Kanun Melaka & Kanun
Laut Melaka, diikuti pula dengan Kanun Pahang dan seterusnya Kanun Kota
Setar dan lain-lain. Demikian juga dengan Perlembagaan Terengganu &
Perlembagaan Negeri Johor. Perubahan dalam bidang sosio-budaya juga
berlaku di mana orang Melayu telah menghayati nilai-nilai akhlak Islam
dalam kehidupan yang terangkum dalam adab-adab kehidupan mereka seperti
adab berpakaian, adab berbahasa, adab berjiran dan sebagainya. Dalam
bidang politik, pemerintah dianggap sebagai pemerintah di mana kekuasaan
politik itu merupakan satu amanah Allah dan para pemimpin diminta
bertindak mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam.
PENGHAYATAN ISLAM BERTERUSAN DI ZAMAN PENJAJAHAN
Proses
Islamisasi Undang-undang & Sosio-Budaya dan Politik tergugat dengan
kedatangan penjajah British, tetapi tidak banyak terjejas di zaman
Portugis dan Belanda. Di zaman penjajahan British peranan Undang-undang
Islam diperkecilkan bidang perlaksanaannya & golongan yang terlibat
dengan Undang-undang Islam, iaitu hanya untuk orang-orang Islam dan
bidangnya hanya bidang undang-undang diri dan kekeluargaan. Sesungguhnya
begitu, kita dapati dalam bidang-bidang yang lain, seperti pendidikan
agama, kehidupan keagamaan dan kehidupan individu dan keluarga serta
masyarakat masih diberi ruang untuk dihayati dan tidak diganggu-gugat.
Justeru itulah kita dapati perkembangan Islam dan penghayatannya masih
dapat dipertahankan (JAKIM).
PENGHAYATAN ISLAM DI ZAMAN KEMERDEKAAN
Kemerdekaan Malaysia
yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah usaha daripada UMNO, yang
dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. UMNO cuba menunjukkan kekuatannya
kepada pihak berkuasa British dengan menggabungkan parti China (MCA) dan
parti India (MIC) dalam gagasan “Perikatan”, dengan mengekalkan
identiti parti masing-masing dalam perkara-perkara tertentu (JAKIM).
Berasaskan perikatan ini didapati pensyarikatan kuasa politik berlaku antara etnik China, India
dan Melayu, tetapi walau bagaimanapun UMNO masih merupakan kuasa
politik dominan dalam pemerintahan. Sejak daripada tahun 1957 sehingga
kini kedominan parti UMNO dapat dipertahankan dalam menguasai
pemerintahan negara. Sungguhpun UMNO sebuah parti sekular,
pendukung-pendukungnya adalah dari golongan Melayu Muslim yang masih
sensitif kepada Islam kerana adanya sensitif ini didapati kedudukan
Islam dan orang Melayu Islam ada keistimewaan-keistimewaan tertentu dan
begitu juga intitusi-intitusi Islam di peringkat negeri dan pusat masih
diberi kedudukannya yang tersendiri (JAKIM).
Sejak
daripada tercapainya kemerdekaan, perhatian kepada pembangunan
masyarakat Islam terus berlaku dalam bidang pendidikan, ekonomi dan
sosial cuma yang agak tersekat dalam proses Islamisasi ialah bidang
undang-undang yang disegi kenyataannya untuk dibuat perubahan secara
menyeluruh terhalang disebabkan beberapa peruntukan yang ditinggalkan
oleh penjajah dalam perlembagaan, Undang-undang Federal dan Pusat.
Undang-undang yang agak ketara percanggahannya adalah di bidang jenayah
hudud, adapun di bidang jenayah membunuh & mencederakan sebahagian
daripada prinsip dan hukumnya tidak banyak beza dengan Islam, demikian
juga dalam hukum ta’zirkesalahan-kesalahan maksiat. Selain daripada itu
dalam muamalat hanya unsur riba yang ketara bercanggah dengan Islam,
tetapi dalam bahagian yang lain tidak banyak percanggahannya. Dalam
bidang kekeluargaan didapati sepenuhnya undang-undang Islam
dilaksanakan, kecuali negeri yang masih berpegang, kepada adat perpatih
(JAKIM).
Dalam
proses meneruskan Islamisasi di bidang undang-undang didapati
peruntukan-peruntukan khas diwujudkan untuk kepentingan Islam dan
masyarakat Islam seperti Akta Bank Islam, Akta Takaful, Falsafah
Pendidikan Negara, Akta Universiti Antarabangsa, Akta Koperasi dan
sebagainya. Melihat kepada perkembangan ini ternyata proses Islamisasi
berterusan berjalan dengan adanya ruang peruntukan dalam Undang-undang
Negeri & Persekutuan, Cuma yang perlu diusahakan ialah
bahagian-bahagian tertentu dalam Undang-undang Federal, Perlembagaan dan
undang-undang Negeri yang menghalang perlaksanaan Islam yang menyeluruh
perlu dipinda (JAKIM).
SISTEM DEMOKRASI & PENGHAYATAN ISLAM
Selepas merdeka kita didedahkan dengan sistem demokrasi berparlimen, yang ditaja oleh penjajah British sebelum Malaysia
diberi kemerdekaan. Untuk melaksanakan sistem demokrasi dalam
pemerintahan maka parti politik ditubuhkan. Dalam sistem berparti ini
terdapat peruntukan untuk parti pemerintah & parti pembakang.
Dilihat dari sudut Islam sistem demokrasi ini dapat diterima dari satu
sudut iaitu memberi suara kepada rakyat memilih pemimpin mereka secara
bebas dan terbuka tetapi yang tidak cocok dengan Islam ialah ia membelah
umat berterusan kepada dua kelompok, kelompok pemerintah dan kelompok
pembangkang yang menentang pemerintah dalam ruang terbatas. Sedangkan
dalam Islam mengajak kepada kesatuan umat dan mendekatkan jurang
pemisahan di antara kelompok, bukan meluaskan jurang (JAKIM).
Walau
bagaimanapun kenyataan ini wujud di hadapan kita dan kita terpaksa
menerima sistem ini dengan dibuat perhitungan bahawa sistem ini bukan
suatu kebenaran mutlak dan ia adalah tajaan penjajah yang masih
meneruskan polisinya “divide & rule”. Kalau diambil asas yang
masakini iaitu kuasa politik Melayu Muslim masih ada sebagai titik tolak
untuk menyatukan Kelompok Islam, dengan mengambil kira Islam sebagai
asas dalam penyelesaian kuasa politik dan cuba menjauhkan titik-titik
perbezaan serta mencari titik-titik persamaan yang membina, maka
dirasakan ini lebih bermanfaat untuk kekuatan masa depan politik orang
Islam. Kalau tidak kita berterusan menjadi alat idea penjajah “divide
& rule” yang kita sendiri memecahkan kelompok kita dengan tangan
kita sendiri. Oleh itu bagi memudahkan proses penyatuan umat di masa
depan kita perlu menerima sebagai suatu kenyataan bahawa negara ini
ialah sebuah negara Islam. Dengan menerima negara ini sebagai sebuah
negara Islam bukan bermakna ianya telah selesai segala tuntutannya.
Kesempurnaannya perlu kepada pengisian daripada kita, sama juga seorang
Muslim yang diakui sebagai Muslim selepas mengucap dua kalimah syahadah
bukan bermakna Muslimnya sudah sempurna, kesempurnaan Islamnya
bergantung kepada proses peningkatan ilmu & penghayatan Islam pada
dirinya (JAKIM).
KESIMPULAN
Tidak
ada kesepakatan dikalangan ulama tentang kriteria negara Islam kerana
tidak terdapat nas Qat’i yang menentukannya. Justeru itu ulama berbeza
pandangan dalam ijtihadnya dalam menentukan ciri-cirinya. Ada
yang mencirikan bilangan majoriti Muslim sebagai penentu dan ada
mencirikan perlaksanaan syari’ah sebagai penentu. Dalam pengalaman
sejarah politik Islam tidak terdapat penentuan cara yang tetap dalam
pemilihan pemimpin negara. Ada
secara pemilihan terbuka dan ada secara warisan, tetapi semua bentuk
pemimpin yang ditentukan itu diterima sah oleh ulama yang membincangkan
teori politik Islam. Ulama juga tidak sepakat pendapat tentang
syarat-syarat yang ditetapkan bagi ketua negara, kecuali beberapa syarat
sahaja seperti keupayaan jasmani, kelayakan undang-undang, adil,
kelayakan ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran. Kerakyatan negara
Islam sama ada Muslim atau bukan Muslim adalah sama disegi hak dan
kewajipan kecuali perkara-perkara khusus yang dikecualikan. Mereka
dikira sebahagian daripada umat Islam (ummatun min al-Muslimin). Malaysia
adalah sebuah negara Islam berdasarkan kepada majoriti penduduk Islam,
keamanan yang dinikmati, perlaksanaan undang-undang Islam sebahagian
besarnya dan kepimpinan negara dikuasai oleh orang Melayu Muslim
(JAKIM).
PENUTUP
Dengan penerimaan negara ini sebagai sebuah negara Islam menimbulkan beberapa implikasi dalam kehidupan Muslim.
1. Muslim berhak menuntut pemerintah melaksanakan Islam sepenuhnya kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai pemerintah Islam.
2.
Muslim dapat hidup dengan harmoni dan dapat berusaha meningkatan
produktiviti untuk kepentingan Islam, kerana terdapat sikap baik sangka
antara satu dengan yang lain.
3.
Menimbulkan tanggungjawab yang lebih kepada Muslim untuk melaksanakan
Islam di mana saja dia berada, kerana tidak dirasakan ada sesuatu yang
bercanggah yang patut dielakkan dalam kehidupannya.
4.
Membina sikap positif dan membuat kritikan yang membina untuk
kepentingan Islam, serta berpatisipasi dalam memenuhi tuntutan Islam di
mana saja ada kekurangan.
5. Setiap individu Muslim merasa berkewajipan untuk membangun negara dan umatnya dalam keupayaan masing-masing.
sumber:http://aisaluddin.multiply.com/journal/item/14/SEJARAH_KEDATANGAN_ISLAM_KE_TANAH_MELAYU?&show_interstitial=1&u=%2Fjournal%2Fitem
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar